|
|
|||||||||||||
| PENGERTIAN WAKAF | |||||||||||||
|
Pengertian Wakaf ialah salah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan umum masyarakat dengan niat sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah SWT. Contoh Amalan Wakaf ialah apabila Baginda Rasulullah SAW membina Masjid Quba’ yang dibina di atas tanah yang diwakafkannya ketika penghijrahan Baginda dan para sahabat ke Madinah. Begitu juga dengan pembinaan Masjid Nabawi di Madinah yang juga dibina dengan sumber wakaf. Dalil pensyariatan wakaf di dalam menggalakkan umat Islam menyumbangkan hartanya untuk manfaat umat Islam terdapat pada Firman Allah SWT pada ayat 96 Surah Ali Imran: Maksudnya :“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” Firman Allah SWT lagi : Maksudnya : “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Surah Al Baqarah : Ayat 261 ) Rasulullah SAW sendiri juga menggalakkan umatnya memperbanyakkan sedekah seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah : Maksudnya :
" Apabila mati
anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, SEDEKAH
JARIAH, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan
kepadanya." Wakaf juga dikenali sebagai Sedekah Jariah, para Ahli Fiqh dan ulama’ berpendapat amalan wakaf adalah satu-satunya ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir kepada pewakaf hingga ke hari akhirat selagi harta tersebut kekal dan dimanfaatkan. Malahan amalan wakaf ini juga bukan hanya sebagai satu ibadah sahaja, malahan merupakan satu sistem yang berpotensi untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Islam melalui konsep pengumpulan harta bersama. APA ITU SAHAM WAKAF Saham Wakaf Selangor adalah satu cara berwakaf melalui wang tunai. Iaitu dengan cara membeli unit-unit saham yang ditawarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai pemegang amanah dan mewakafkan unit-unit saham tersebut selama-lamanya kerana Allah SWT dengan tujuan demi kepentingan dan kebajikan umat Islam. Penyertaan adalah terbuka kepada semua umat Islam dan syarikat-syarikat perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam tanpa had maksimum. Konsep saham wakaf adalah sama dengan konsep perlaksanaan wakaf kaki, wakaf hasta, dan wakaf lantai yang dipraktikkan di sesetengah negeri di Malaysia ini. PANDANGAN ULAMA’ TERHADAP WAKAF MELALUI WANG TUNAI Ulama’ mempunyai beberapa pendapat mengenai amalan wakaf melalui wang tunai. Secara umumnya di dalam ibadah wakaf, Ulama Fiqh telah bersepakat bahawa harta wakaf itu hendaklah sesuatu yang bernilai, jelas dan diketahui tentang harta tersebut serta dimiliki sepenuhnya oleh pemiliknya sama ada harta itu berbentuk harta alih (manqul) atau pun harta tidak alih (I’qar). Di dalam Kitab Al-Wasoya Wal-Awqof yang ditulis oleh Dr. Muhamad Kamaluddin Imam, menyatakan bahawa Ulama’ Fiqh dengan jelas telah membahagikan harta wakaf kepada dua bentuk iaitu :
1. Harta alih (manqul) iaitu harta yang boleh dipindah alih seperti baju, Al-Quran, wang dan lain-lain
Di dalam membahaskan perkara ini, Mazhab Hanafi mempunyai pandangan yang berlainan dan tidak membenarkan wakaf melalui harta alih kerana ianya berlawanan dengan pengertian wakaf itu sendiri iaitu menahan harta untuk diambil manfaatnya. Kesimpulannya, Mazhab Hanafi berpendapat, harta yang boleh diwakafkan adalah harta yang berbentuk kekal contohnya seperti tanah. |
|
Walau bagaimanapun, Mazhab Hanafi mengharuskan wakaf dengan harta alih pada tiga keadaan berikut :
Mazhab Maliki pula mengharuskan sepenuhnya wakaf harta alih tanpa di syaratkan kekal fizikalnya. Mazhab Maliki berpendapat bahawa harus wakaf dengan menggunakan wang tunai seperti yang telah disebut di dalam Kitab Muqaddimah Ibnu Ar-Rushd Al-Ka’bi kerana bagi Mazhab Maliki, tujuan asal wakaf itu adalah untuk mendapat manfaat daripada harta tersebut. Dalam konteks kita di Malaysia, penggunaan wang tunai dalam ibadah wakaf ini masih baru untuk diperkenalkan kepada masyarakat sebagai bekalan dan amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT sejajar dengan hadith Qudsi iaitu : Maksudnya: “Sesungguhnya hambaku dapat menghampirikan diri kepadaKu dengan melakukan ibadah-ibadah sunat.” Ibadah wakaf yang dilakukan oleh orang-orang tua dan generasi terdahulu lebih dilakukan dengan cara individu (fardi). Ibadah ini dilakukan atas kemampuan yang ada pada individu tersebut untuk berwakaf sama ada mewakafkan tanah, rumah, atau aset-aset yang lain. Tetapi senario hari ini, dengan adanya perlaksanaan Skim Saham Wakaf Selangor maka ianya akan lebih mudah dan rasional untuk dipraktikkan oleh masyarakat yang rata-rata kurang memiliki harta yang berbentuk aset tetap. Skim yang dilaksanakan ini menjurus kepada wakaf am yang dilakukan secara berkelompok (jama’ie) oleh pewakaf-pewakaf yang menyertainya melalui sumbangan wang tunai.
Berdasarkan kepada kupasan-kupasan yang
diberikan maka dapatlah dirumuskan bahawa Jumhur Ulama’ mengharuskan
wakaf harta alih termasuklah wang tunai yang ketika ini menjadi amalan
di beberapa negeri di Malaysia. i. Hasil daripada wang Skim Saham Wakaf Selangor hendaklah dibelanjakan bagi tujuan pembelian aset kekal. Manakala wang manfaat wakaf Selangor boleh dibelanjakan untuk memberi bantuan dan perbelanjaan lain yang difikirkan sesuai oleh Majlis Agama Islam Selangor. (Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 5 September 2006 )
Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam.
( Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi
Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali Ke-77 yang bersidang pada 10-12
April 2007 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu ) Merujuk kepada buku Enakmen Wakaf Negeri Selangor No. 7 Tahun 1999 Seksyen 17 (1) menyatakan :
"Majlis boleh menawarkan saham wakaf terhadap apa-apa harta yang diperolehinya atau yang akan diperolehinya kepada mana-mana orang untuk saham-saham itu dibeli dan kemudiannya diwakafkan kepada Majlis."
Seksyen 17 (2) pula menyatakan :
"Apa-apa harta yang dibangunkan daripada apa-apa hasil di bawah subseksyen (1), hendaklah menjadi wakaf am."
SUMBER RUJUKAN: |
|||||||||||
| | KE MENU UTAMA | | |||||||||||||
|
|
|||||||||||||